Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling
rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di belakang rumah kita. Jika
kita tinggal di dalam satu taman atau di sebuah kampung yang sama, mereka akan
dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran sangat penting kerana merekalah
yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita
menghadapi kesusahan nanti. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa "Jiran
sepakat membawa berkat". Jadi, kita perlulah mengukuhkan semangat
kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati dalam melakukan sesuatu perkara.
Oleh itu, langkah-langkah yang wajar hendaklah diambil untuk memupuk semangat
kejiranan dalam kalangan penduduk setempat.
Langkah primer yang harus diambil ialah
mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat
berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan
dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan
antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal
hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui
pepatah Melayu yang mengatakan bahawa “tak kenal maka tak cinta”.
Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah
membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan
sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan dan meningkatkan hubungan
sesama jiran.
Selain itu, kita juga hendaklah mengadakan
majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat
membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan
jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanya khabar dan
bercerita tentang pengalaman dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui majlis
rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan
berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai
contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas,
Deepavali, dan sebagainya majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara
tahunan. Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk
bertemu muka dan berkenalan dengan lebih erat lagi.
Di samping itu, kita juga hendaklah mengadakan
aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat setempat. Semasa aktiviti ini diadakan, semua ahli keluarga jiran
akan turut serta untuk melibatkan diri dalam aktiviti seperti berkayak,
memasukkan air ke dalam botol, terompah gajah, dan sebagainya. Apabila aktiviti
Hari Keluarga diadakan, kemesraan akan terjalin bukan sahaja antara ibu dengan
bapa, malah anak-anak juga. Aktiviti seperti ini hendaklah diadakan di padang
bola sepak, gelanggang bola tampar, taman rekreasi, atau padang sekolah yang
berhampiran. Jadi, melalui aktiviti ini, hubungan yang erat sesama jiran dapat
dibentuk yang secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin membantu
antara satu dengan yang lain seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayu ke
bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.
Bukan itu sahaja, kita juga harus menggalakkan
rakyat supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti persatuan atau
pertubuhan. Penduduk setempat mestilah membentuk satu persatuan yang mempunyai
satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah
melibatkan semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela
ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatankuasa
Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian, dan sebagainya.
Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat setempat secara
bergilir-gilir mengawasi keselamatan taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian
yang tidak diingini berlaku. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu,
iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat
sandar-menyandar atau saling membantu dalam kehidupan.
Seterusnya, kita mestilah menyemarakkan budaya
kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan
mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan
menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan
kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung
ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital
kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada
mengatakan bahawa berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya, namun
sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada prinsip cubit paha kiri, paha
kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan
yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang
dialami oleh jiran kita. Jadi, melalui lawatan kita itu, sekurang-kurangnya
kita dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran kita itu.
Kesimpulannya, kita perlu memupuk semangat
kejiranan dalam kalangan penduduk setempat. Dalam era globalisasi ini, sikap
mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin
menebal seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu “bagai enau dalam
belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Jika hal ini dibiarkan, semangat
kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara. Ada
pepatah yang mengatakan bahawa “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.
Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh
dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk
memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa
aman, harmoni dan sejahtera.
Karya Munsyi Dewan
No comments:
Post a Comment